Kota Kinabalu, Satu Destinasi Menjanjikan ‘Satu Kelainan’

Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) — Chef, penulis dan pengembara terkenal Anthony Bourdain pernah berkata ‘be a traveller not a tourist’ (jadilah pengembara dan bukannya pelancong).

Berbekal dengan kata-kata itu, penulis yang baru-baru ini berpeluang melawat Kota Kinabalu selama dua hari bertekad untuk meninjau seberapa yang boleh lokasi-lokasi menarik terdapat di kota ini.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) mengambil masa selama dua jam 10 minit merentasi Laut Cina Selatan dengan jarak kira-kira 1,600 km.

UDARA SEGAR

Sebaik sahaja menjejak kaki buat pertama kali di LTAKK penulis terasa bagaikan beliau berada di alam yang lain dengan udara yang lebih segar dan persekitaran tenang, jauh berbeza daripada kesibukan kotaraya Kuala Lumpur.

Di LTAKK penulis dijemput Luis Fidelis, 22, seorang kakitangan hotel tempat beliau akan menginap.

Ketika melintasi satu landasan kereta api ketika menuju ke hotel, penulis sempat bertanyakan Luis mengenai tragedi kemalangan antara kereta api dan lori tangki minyak di Kota Kinabalu pada 31 Okt lepas.

Menurut Luis kemalangan itu terjadi tidak sampai 2.0 km dari LTAKK dan beliu memberitahu yang penulis akan melalui kawasan itu dalam perjalanan menuju ke LTAKK ketika mahu pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan hari.

“Kuat bunyi letupannya, bergegar tanah bila kereta api bertembung dengan lori tangki. Dengarnya ramai orang lari kerana takut akan stesen minyak berada hampir kawasan itu meletup juga,” katanya.

TEMPAT MENARIK

Antara soalan yang kerap ditanya oleh pengembara kepada masyarakat tempatan adalah:

“Apa tempat yang menarik di sini?”. Dan soalan itulah yang dilemparkan penulis kepada Luis yang menjawab:”Banyak tempat menarik di sini bah,”.

Kata Luis antaranya ialah pasar Filipina yang terletak berhampiran hotel tempat penulis menginap. Ia adalah destinasi yang perlu dikunjungi begitu juga pantai Teluk Likas iaitu antara pantai tercantik di Sabah.

“Pasar malam di sini tempat yang mesti dikunjungi. Di Semenanjung pasar malam diadakan seminggu sekali (tetapi) di sini ianya ada setiap hari. Ada satu pasar malam bersebelahan Pasar Filipina, di pasar malam ini makanan lautnya enak dan murah,” kata Luis merujuk kepada Pasar Malam Sinsuran.

WAKTU MALAM

Selepas tiba dan berehat di hotel, penulis keluar bagi meninjau suasana malam di kota ini.

Destinasi pertama beliau adalah Pasar Malam Sinsuran yang dipenuhi asap daripada membakar makanan laut. Meja serta kerusi untuk makan disediakan tetapi dengan cara yang paling ringkas.

Seorang peniaga di situ yang memperkenalkan dirinya sebagai Joshua berasal dari Chini, Pahang memberitahu penulis:

“Dekat sini senang cari makan, saya kerja jual ikan bakar tiap malam untung banyak. Harga makanan laut murah kerana naik (dilabuhkan) dekat sini juga,” kata Joshua sambil menunjukkan pengkalan pendaratan ikan bersebelahan pasar itu.

Joshua telah tinggal di Sabah selama 10 tahun.

Berbeza dengan restoran makanan laut di Semenanjung, ikan di Pasar Malam Sinsuran dijual berdasarkan bilangan dan bukan berat dengan harga yang amat murah antara RM5 dan RM50 seekor.

Meneruskan perjalanan, penulis menuju ke satu lagi pasar malam berhampiran Jalan Fuad Stephens terletak tidak sampai 1.0 km dari Pasar Malam Sinsuran.

Sesuatu yang menarik perhatian penulis dalam perjalanan itu, terlihat beberapa orang ke sana ke mari membawa berkotak-kotak rokok menggunakan kotak plastik.

Seorang rakan sebelum ini pernah memberitahu penulis mengenai adanya rokok tiruan di Kota Kinabalu dan atas perasaan ingin tahu penulis mendekati seorang daripada penjual rokok itu.

“Pelbagai jenama ada bah, mahu jenama yang import RM8 mahu yang biasa RM5 saja,” kata seorang penjual kepada penulis.

SELUAR JEANS, URUT TRADISIONAL

Menolak tawaran penjual rokok itu penulis berjalan menuju ke pasar malam berhampiran Jalan Fuad Stephens dan apabila tiba di pasar malam itu penulis tertarik dengan pelbagai barangan yang dijual terutama pakaian.

Pelbagai pakaian dijual terutama seluar jeans berjenama terkenal dengan harga semurah RM40 yang menimbulkan persoalan tentang keasliannya.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis disapa seorang lelaki berpakaian kemeja hijau menawarkan perkhidmatan urut dan spa tradisional. Agak sangsi penulis bertanya lanjut berkenaan perkhidmatan itu.

“Ini urut tradisional Sabah. Urut ini bagus untuk melancarkan darah,” kata beliau.

TELUK LIKAS, GAMAT KERING

Keesokan harinya penulis menghadiri majlis perasmian projek pembersihan pantai di Pantai Teluk Likas.

Teluk Likas mempunyai pantai yang cantik bagaimanapun agak malang kerana kecantikan itu dicemari dengan sampah sarap yang hanyut ke pantai.

Berpeluang menemubual Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir selepas majlis itu, penulis bertanya tentang masalah sampah di pantai itu.

“Sampah sarap isu lama, kita DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) berusaha keras mengatasi masalah ini dan sentiasa jalankan kerja-kerja pembersihan. Kita kerjasama dengan mana-mana pihak dan kerja keras selesaikan masalah sampah.

“Atas kerja keras semua pihak, masalah ini tidak jejaskan pelancongan kita. Bagaimanapun kita kena ingat semua pihak perlu mainkan peranan, agensi kerajaan, swasta dan rakyat sendiri, jangan buang sampah sesuka hati,” katanya.

Selesai majlis itu, penulis sekali lagi berkesempatan menjelajah pelosok bandaraya Kota Kinabalu dan penulis mengambil kesempatan itu menuju ke Pasar Besar Kota Kinabalu.

Suasana pasar itu agak sama dengan di Semenanjung dengan kesibukan penjual melayan pembeli, apa yang dijual tidak begitu banyak bezanya.

Meneruskan perjalanan penulis menuju ke Pasar Ikan Masin yang terletak hampir dengan pasar besar itu dan kagum dengan pelbagai jenis makanan laut yang dikeringkan dijual di situ.

Paling menarik perhatian penulis ialah gamat kering bermutu tinggi yang dijual dengan harga antara RM650 hingga RM750 setiap kilogram bergantung kepada saiz dan jenis gamat itu.

ASEH, PENJUAL MUTIARA SABAH

Kunjungan ke Kota Kinabalu bagaikan tidak sempurna sekiranya tidak melawat Pasar Kraftangan atau lebih dikenali sebagai Pasar Filipina yang terkenal sebagai pusat penjualan mutiara Sabah.

Sabah sememangnya terkenal dengan penghasilan mutiara bermutu hingga dieksport ke Jepun dan kawasan berhampiran Pulau Bohey Dulang kira-kira 18km dari pekan Semporna adalah kawasan ternakan tiram untuk mutiara terkenal di dunia.

Keadaan pasar yang sesak dengan pengunjung dan jarak antara kedai yang amat rapat agak menyesakkan nafas penulis ketika cuba mencari kedai yang menawarkan harga terbaik.

Penulis disapa seorang peniaga, memperkenalkan dirinya sebagai Aseh Jamaat, 25, menawarkan pelbagai jenis barang perhiasan daripada mutiara Sabah dengan harga yang menarik perhatian penulis.

“Harga murah saja, beli banyak lagi dapat banyak diskaun. Kami ada dua jenis mutiara Sabah, mutiara air masin dan air tawar,” katanya sambil menunjukkan pelbagai jenis barangan mutiara.

Menurut Aseh, perbezaan ketara mutiara air masin dan tawar ialah bentuk mutiara itu di mana mutiara air masin mempunyai bentuk sfera yang lebih sempurna berbanding mutiara air tawar.

Aseh turut menunjukkan kepada penulis cara membezakan antara mutiara tiruan dan palsu, antaranya dengan cara menggesel mutiara ke gigi dan melambung mutiara itu bagi merasai beratnya.

“Satu lagi cara kita boleh bakar, mutiara asli tidak akan ada apa-apa kesan kalau dibakar. Mutiara tiruan kita lihat lapisan luar dia akan terkopek satu demi satu seperti kulit bawang,” katanya.

Setelah menghabiskan masa kira-kira 30 minit berbual panjang dengan Aseh yang begitu mesra, penulis memilih barang perhiasan mutiara Sabah yang menarik hati.

Dalam perjalanan ke LTAKK penulis sayu melihat kawasan kemalangan antara kereta api dan lori tangki minyak yang diceritakan Luis.
Bernama

1 comment for “Kota Kinabalu, Satu Destinasi Menjanjikan ‘Satu Kelainan’

  1. 27/02/2012 at 1:21 am

    PRICE UPDATE MARCH 2012
    (BRANDON KOTA KINABALU CAR RENTAL SERVICES ) MURAH MURAH

    -MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN KERETA SEWA SEKITAR KOTA KINABALU
    -KERETA UNTUK SEWAAN HARIAN,MINGGUAN @ BULANAN
    -KHIDMAT PENGHANTARAN PERCUMA KE AIRPORT @ HOTEL
    -KEADAAN KERETA YANG BERSIH DAN MEMUASKAN
    -DISKAUN DIBERIKAN UNTUK SEWAAN LEBIH DARIPADA 3 HARI
    -HANYA SALINAN I/C & LESEN DIPERLUKAN

    MYVI 1.3(AUTO) – RM120 (24hours)
    SAGA BLM 1.3 (AUTO)- RM120 (24hours)
    NEW BRAND 2012 SAGA FLX 1.3 (AUTO) – RM140 (24Hours)
    NISSAN URVAN 3.0 14seater RM300 (24hours)
    —————————————
    -HARGA PENYEWAAN UNTUK 3HARI DAN KEATAS

    MYVI 1.3(AUTO) – RM100 (24hours)
    SAGA BLM 1.3 (AUTO)- RM100 (24hours)
    NEW BRAND 2012 SAGA FLX 1.3 (AUTO) – RM120 (24Hours)
    NISSAN URVAN 3.0 14seater RM250 (24hours)
    —————————————-

    UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI @ SMS
    WEBSITE – * http://www.kkrentacar.com
    EMAIL – * brandon@kkrentacar.com / brandonkkrentacar@gmail.com
    SMS/CALL – * Brandon – 013-8999242

    (STRICKLY NO AGENT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *