‘Chugo’ Alat Perangkap Dan Pembunuh Nyamuk

KOTA KINABALU 5 Dis. – Masalah gangguan tidur terutama pada waktu malam berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya adalah, tidak tahan dengan gigitan nyamuk.

Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan tetapi juga mengakibatkan keletihan pada siang hari kerana waktu rehat tidak mencukupi kerana terpaksa ‘tidur-tidur ayam’.

Begitupun, masalah itu nyata memberi idea kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah (SM) St. Michael Penampang, Daniel Liew, Mandy William dan Kelvin Chan untuk mencipta alat pembunuh dan perangkap nyamuk yang diberi nama ‘Chugo’.

20111206-114857.jpg

Menariknya, ciptaan mereka itu telah memenangi hadiah sempena Anugerah Pertandingan Reka Cipta peringkat negeri anjuran Unit Sains dan Teknologi Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Zul Design Autotronic, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan mereka menandatangani kontrak bersama Zul Design Autotronic iaitu sebuah syarikat perniagaan dalam bidang penciptaan yang telah menghasilkan pelbagai produk reka cipta di negara ini.

Ketika ditemui, Daniel berkata, mereka mencipta alat pembunuh dan perangkap nyamuk itu dalam sehari, namun, ujian dijalankan dalam masa sebulan bagi memastikan keberkesanannya.

‘‘Idea mencipta alat tersebut untuk pertandingan ini timbul disebabkan saya dan rakan-rakan susah hendak tidur kerana nyamuk. Lagipun, masa itu kami tengah belajar pasal denggi.

‘‘Justeru, kami berbincang secara berkumpulan untuk mencipta sesuatu yang tidak memakan masa lama dan kos yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Daniel berkata, alat pembunuh dan perangkap nyamuk itu dihasilkan daripada bahan-bahan seperti yis, gula dan air parit serta pokok bambu.

Katanya, apabila yis dicampurkan dengan gula, ia akan mengeluarkan gas karbon dioksida untuk menangkap nyamuk manakala air parit mewarna hitam mampu menarik perhatian serangga itu.

Beliau yang juga ketua kumpulan itu menambah, proses pembuatan alat berkenaan dilakukan di sekolah dengan bantuan guru mereka, Collin Andrew Chong.

‘‘Kami juga membuat ujian ke atas alat itu selama seminggu di sekolah. Kami bernasib baik kerana mendapat sokongan pihak sekolah dan rakan-rakan untuk menyiapkan projek itu.

‘‘Tidak menyangka dapat menang pertandingan ini kerana ciptaan-ciptaan lain juga hebat. Kami bernasib baik kerana dipilih sebagai pemenang memandangkan ini adalah penyertaan pertama sekolah kami,” ujarnya.

Pertandingan itu mendapat lebih 100 penyertaan yang terdiri daripada sekolah, jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negeri.

Bagaimanapun, hanya enam kumpulan terpilih ke pertandingan akhir. Mereka adalah Jabatan Perkhidmatan Awam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu (dua penyertaan), SM St. Michael, Penampang, SMK Kundasang Ranau dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *